Friday 27 January 2012

Ikhwan Muslimin mahu 'tewaskan' Malaysia!


Parti kelolaan Ikhwanul Muslimin, Hizb al-Hurriyyah Wa al-‘Adalah (FJP) sekarang ini sedang berpencak di gelanggang politik Mesir.

Nasib memihak parti itu apabila berjaya menewaskan parti-parti lain, dengan meraih sebanyak 46% kerusi Dewan Rakyat.

Setelah berjaya menewaskan parti-parti tersebut, FJP nampaknya masih belum ‘puas’. Ia kelihatan masih 'bernafsu'. Lantas,  ia cuba ‘menewaskan’ pihak-pihak lain pula.

Namun, kali ini, pihak yang mahu ditewaskannya itu, adalah negara luar yang langsung tiada kaitan dengan persaingan politik di Mesir.

Negara yang mahu ditewaskan oleh FJP ialah Malaysia dan Turki!

Ini dinyatakan sendiri oleh salah seorang pemimpin FJP, iaitu Dr. Muhammad Jawdah.

Namun, FJP bukan mahu menewaskan Malaysia dan Turki dalam bidang politik atau ketenteraan. Sebaliknya, mereka mahu menandingi kedua-dua negara ini dari segi ekonomi.

Tewaskan Malaysia dalam masa 8 tahun

Dalam satu kenyataan, Dr. Muhammad Jawdah, anggota Lajnah Ekonomi dan Setiausaha Pembangunan Minda FJP menyatakan, FJP mempunyai program ekonomi yang bertujuan mencetuskan kebangkitan ekonomi di Mesir.

Dengan program ini, menurut beliau, ekonomi Mesir akan menjadi lebih baik, mengatasi ekonomi Malaysia dan Turki sekarang ini dalam tempoh 7 atau 8 tahun akan datang. (Sumber : islamtoday)

Persoalannya, sejauh manakah Mesir yang diterajui FJP itu, mampu membangunkan ekonominya sehingga mengatasi Malaysia dan Turki?

Jawapan kepada persoalan ini, sedikit sebanyak boleh ditinjau daripada satu catatan Syaikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya, Kayfa Nafhamul Islam.

Dalam buku yang dicetak pada tahun 80-an itu, al-Marhum mencatatkan, setiap tahun, kira 400 rakyat Mesir memperolehi ijazah Phd dalam pelbagai bidang.

Namun, perangkaan juga menunjukkan, setiap tahun, seramai kira-kira 400 rakyat Mesir yang memiliki ijazah Phd, meninggalkan Mesir (pada zaman pemerintahan Husni Mubarak) mencari pekerjaan di negara-negara lain!

Ya, aset-aset intelek ini-bergandingan dengan kepimpinan yang bijak dan amanah- ada kekuatan menukar mimpi menjadi realiti! 

Sunday 22 January 2012

Kemaruk shopping, atasinya dengan seni berbelanja


Cuba bayangkan…

Anda sedang berjalan kaki menuju ke tempat yang agak jauh, pada hari yang sangat panas.
Peluh berjejeran membasahi tubuh. Tekak terasa perit ‘dicakar’ rasa dahaga...

Lantas, anda berhenti di sebuah gerai yang menjual minuman sejuk.

Bayangkan anda berada dalam situasi sebegini…

Apa yang akan anda buat?

Anda akan membeli sebotol air yang anda suka, dan terus meminumnya dengan rakus...

Ahhhhhh...anda kini sedang merasai kelazatan minuman pilihan anda itu. Kelazatan yang ‘mengkhayalkan’.

Namun, oleh kerana terlalu haus, ia hanya menghilangkan sebahagian rasa dahaga anda. Anda masih memerlukan sebotol lagi minuman.

Lantas, anda meminum sebotol lagi.

Anda kini sedang merasai kelazatan minuman tersebut. Tapi, kelazatan yang anda rasai ini, adalah kurang berbanding kelazatan yang anda rasai ketika meminum air dari botol pertama tadi.

Sekarang, ambil sebotol lagi minuman.

Bila anda minum, anda juga akan merasai kelazatan minuman tadi. Namun, kelazatan yang dirasai, semakin berkurang berbanding kelazatan meminum dari botol kedua, apatah lagi botol pertama.

Kelazatan minuman yang anda rasai, semakin berkurang jika anda meminum kali keempat, kelima dan seterusnya.

Hingga sampai satu tahap, anda sudah tidak mampu minum lagi. Ketika itu, tiada sebarang rasa lazat lagi. Sebaliknya menjadi mudharat, seperti termuntah jika terus minum.

Apa yang anda dapat perhatikan?

Hadis Nabi & Diminishing Marginal Utility

Kadar atau ‘saiz’ kelazatan yang anda rasai, semakin berkurang, setiap kali anda mengambil minuman tambahan. Bahkan, pada peringkat tertentu, anda akan merasa tiada keinginan langsung untuk minum.

Pada tahap itu, pernafasan menjadi sesak disebabkan terlalu banyak minuman yang diambil. Anda juga boleh termuntah.

Bagaimana anda mentafsirkan keadaan ini?

Manfaat (kelazatan) yang diberikan oleh setiap botol air yang anda minum, akan semakin berkurang sehingga sampai ke tahap sifar.

Pada tahap ‘sifar manfaat’ ini, meminum satu lagi botol air, tidak memberikan sebarang manfaat kepada anda. Bahkan sebaliknya, memberikan mudharat seperti termuntah atau sesak pernafasan.

Pada peringkat ini atau sebelum sampai ke peringkat ini, anda mesti berhenti minum.

Fenomena di atas di namakan ‘penyusutan kadar manfaat utiliti’. Iaitu, manfaat sesuatu barangan atau perkhidmatan, semakin menyusut setiap kali penggunaannya bertambah (seperti contoh di atas).

Konsep yang dikenali dengan Diminishing Marginal Utility ini diperkenalkan dalam buku karangan tokoh ekonomi Britain, William Stanley, pada tahun 1871.

Konsep ini menuntut anda menggunakan ‘kemampuan mengguna’,  ketika kepenggunaan anda terhadap sesuatu barang, memberi kepuasan atau kelazatan pada tahap tertinggi (dalam contoh di atas, ketika dahaga).

‘Kemampuan mengguna’ ini terus digunakan, sehinggalah kadar manfaat yang terhasil daripada ‘kelakuan mengguna’, sampai ke tahap sifar (dalam contoh tadi, tahap termuntah) atau sebelumnya.

Saat itu, atau sebelumnya, anda mesti berhenti ‘mengguna’.

Sekarang, fahamlah kita, mengapa Nabi Muhammad s.a.w mengasaskan budaya ‘tidak makan sehinggalah rasa lapar, berhenti sebelum kenyang’.

Fahamlah kita, kalau makan ketika masih kenyang, manfaat dan kelazatan daripada perbuatan ‘makan’, tidak ada atau begitu sedikit.

Begitu juga kalau masih belum berhenti makan meskipun telah kenyang. Manfaat dan kelazatan ‘makan’ sudah tiada, atau sangat kurang.

Kita juga faham, budaya ini nampaknya bukan hanya terpakai dalam soal makan minum. Ia terpakai dalam semua bentuk kepenggunaan.

Orang yang hanya perlukan sebuah kereta, apabila membeli 2,3,4,10 buah kereta, manfaat kereta tersebut semakin berkurang sehinggalah sampai ke tahap sifar. Kereta-kereta tambahan itu tidak lagi mendatangkan ‘kelazatan’ dan manfaat.

Fahamlah kita, bahawa hadis Nabi, “kami adalah satu kaum yang tidak akan makan sehinggalah merasa lapar, dan apabila kami makan, kami tidak akan makan sampai kenyang”, merupakan panduan kepenggunaan.

Hadis ini bermakna :

i. Kepenggunaan hanya dilakukan pada saat ia memberikan ‘kepuasaan’ pada kadar yang paling tinggi. Ini tidak akan berlaku, melainkan dengan adanya keperluan yang betul-betul terhadap sesuatu barang atau perkhidmatan (sehingga kami merasa lapar).

ii. Menghentikan kepenggunaan apabila ia tidak memberikan sebarang manfaat, iaitu tahap ‘kenyang’ yang disebut di dalam hadis. Bermakna, anda sepatutnya berhenti sebelum sampai ke tahap itu.

Dalam bahasa lebih mudah, ‘kebolehan dan kemampuan mengguna’, hanya diguna pakai ketika perlu, ‘disimpan’ atau ‘dibekukan’ bila keperluan sudah tercapai.

Inilah seni berbelanja atau shopping. Seni yang menghasilkan nikmat dari aktiviti shopping.

Orang yang kemaruk shopping, perlu sedar. Sikap boros berbelanja, bukan sahaja tidak kena dari segi agama atau budaya. Malahan, dari segi ekonomi dan kepenggunaan juga tidak kena.

Perwatakan mereka sebenarnya sangat tidak cantik.

Ia seperti orang yang tidak dahaga, meminum bergelas-gelas air sehingga termuntah!

Saturday 21 January 2012

Kos guaman : Qaradhawi & keharusan meminjam wang zakat


Syaikh Qaradhawi

Isu dakwaan penyalahgunaan wang zakat bagi tujuan pembayaran kos guaman, yang didakwa melibatkan seorang menteri dan pegawai atasan sebuah Majlis Agama, perlu dilihat dari sudut 'hukum meminjam wang zakat'.

Sudut pandangan ini sejajar dengan kedudukan isu ini. Ia-seperti yang digambarkan pihak terbabit-adalah jelas berkisar sekitar tindakan individu-individu berkenaan meminjam wang zakat.

Tindakan mereka mengganti semula wang zakat yang telah digunakan, jelas menunjukkan bahawa isu ini adalah isu 'meminjam wang zakat'.

Justeru, semua pihak wajar merujuk kepada 'hukum meminjam wang zakat' ketika memperkatakan isu ini. Ini bagi mengelakkan diskusi isu ini menjadi berkecamuk dan merawak, disebabkan tidak fokus kepada intipatinya yang sebenar.

Antara ulama yang memperkatakan tentang hukum meminjam wang zakat, ialah al-Allamah Yusuf al-Qaradhawi, pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, dalam karyanya, Feqh al-Zakah.

Ia disentuh dalam huraian beliau berkenaan salah satu asnaf yang layak menerima zakat, iaitu asnaf al-Gharimeen. Al-Gharimeen bermaksud orang-orang yang menanggung hutang. Mereka layak menerima zakat jika tidak mampu membayar hutang yang ditanggung.

Logik

Bagi memahami pandangan Qaradhawi berhubung hukum meminjam wang zakat, perlu difahami kedudukan wang zakat yang diberikan kepada mereka yang layak.

Zakat adalah pemberian kepada mereka yang layak. Terdapat 8 kategori manusia yang layak mendapat zakat, salah satunya ialah al-Gharimeen.

Justeru, mereka yang menerima zakat-termasuk al-Gharimeen-tidak perlu membayar balik wang zakat yang diterima. Ini kerana zakat adalah pemberian, bukan pinjaman.

Jika demikian, tidakkah seseorang yang memerlukan, lebih utama dianggap layak menerima zakat atas nama pinjaman?

Ini kerana, wang zakat yang diterimanya atas nama pinjaman itu, akan dibayar balik. Tidak seperti al-Gharimeen tadi. Mereka tidak perlu membayar balik wang zakat yang diterima.

Logiknya, jika al-Gharimeen layak menerima zakat, sedangkan mereka tidak perlu membayar balik, apatah lagi orang-orang yang memerlukan. Sudah tentu mereka lebih layak menerima zakat kerana mereka akan membayar balik wang zakat yang dipinjam.

Logik ini diterima oleh Qaradhawi.

Justeru, beliau berpandangan, harus bagi al-Muhtajeen (orang-orang yang memerlukan), meminjam wang zakat. Menurut beliau, ini juga merupakan pandangan Syaikh Abu Zuhrah, Syaikh Abdul Wahab Khallaf dan Syaikh Abdul Rahman Hasan.

Ringkasnya, menurut Qaradhawi, meminjam wang zakat adalah harus, tapi khusus bagi al-Muhtajeen sahaja.

Qias

Penjelasan di atas menunjukkan, dalil keharusan meminjam wang zakat bagi al-Muhtajeen, adalah qias.

Qias ialah menyamakan sesuatu kes yang tidak dinyatakan hukumnya oleh al-Quran dan hadis (kes ini dinamakan fara'), dengan kes yang dinyatakan hukumnya oleh kedua-dua sumber tadi (kes ini dinamakan asl).

Penyamaan yang dimaksudkan ialah dari segi hukum. Penyamaan ini dilakukan kerana illah (sebab) asl dihukum dengan sesuatu hukum, juga terdapat pada fara'.

Contohnya, pengharaman arak oleh al-Quran (yang merupakan asl). Ia diharamkan kerana terdapat padanya sifat 'memabukkan'.

Manakala hukum dadah pula, tidak dinyatakan oleh al-Quran. Tapi, dadah (yang merupakan fara') disamakan dengan arak (yang merupakan asl) dari segi hukumnya, iaitu haram.

Penyamaan ini diasaskan kepada kewujudan sifat 'memabukkan' yang turut terdapat pada dadah.

Berhubung hukum meminjam wang zakat, al-Muhtajeen (yang merupakan fara') disamakan (diqiaskan) dengan al-Gharimeen (yang merupakan asl) . Iaitu dari segi kelayakan menerima zakat.

Oleh kerana al-Muhtajeen dinilai lebih utama dianggap layak menerima zakat berbanding al-Gharimeen, disebabkan al-Muhtajeen akan membayar balik wang zakat yang dipinjamnya (berbeza dengan al-Gharimeen yang mengambil zakat secara percuma), maka qias ini dinamakan qias awla.

Kesimpulannya, berdasarkan kaedah qias ini, Qaradhawi berpendapat, al-Muhtajeen boleh diberi pinjaman daripada wang zakat, yang diambil daripada sahm (bahagian) al-Gharimeen.

Namun, Qaradhawi menekankan akan keperluan diwujudkan satu tabung khusus bagi melaksanakan pandangan beliau ini.

Manakala pembayaran semula oleh peminjam wang zakat, disalurkan ke Baitul Mal, bukannya dikembalikan semula ke tabung atau akaun zakat.

Dengan huraian ini, dapatlah difahami kenyataan Qaradhawi dalam karyanya yang dinyatakan.

Terjemahan kenyataan beliau itu ialah "...memberi qardhul hasan (pinjaman tanpa faedah) daripada [wang zakat], adakah harus dengan mengqiaskan orang-orang yang meminjam [sama] dengan al-Gharimeen [dari segi kelayakan menerima zakat]?

Ataupun kita berpegang dengan literal nas, lalu kita tidak mengharuskannya (memberi qardhul hasan dari wang zakat kepada al-Muhtajeen) atas alasan al-Gharimeen adalah orang-orang yang sedang menanggung hutang [maka al-Muhtajeen tidak boleh disamakan dengan al-Gharimeen dari segi kelayakan menerima zakat?].

Saya berpendapat, qias yang sahih dan maqasid am (objektif umum) Islam dalam bab zakat, mengharuskan kita [untuk] berkata [harus] memberi pinjaman kepada al-Muhtajeen daripada sahm al-Gharimeen.

Tapi  [perkara] ini (memberi pinjaman kepada al-Muhtajeen dari wang zakat) perlu disusun dan dibentuk tabung yang khusus. Dengan demikian, zakat [akan] memberi saham secara praktikal dalam memerangi riba dan penghapusan faedah (bunga).

Inilah pendapat [Syaikh] Abu Zuhrah, [Syaikh Abdul Wahab] Khallaf dan [Syaikh Abdul Rahman] Hasan dalam perbahasan mereka tentang zakat.

Alasan mereka ialah, jika hutang-hutang tanpa faedah [boleh]dibayar dengan wang zakat [dan pemiutang tidak perlu membayar balik], maka lebih utama diberikan qardhul hasan daripada wang zakat tanpa faedah [kepada al-Muhtajeen] agar dikembalikan [pembayaran qardhul hasan itu] ke Baitul Mal.

Ini bermakna mereka menjadikannya (keharusan memberi pinjaman dari wang zakat kepada al-Muhtajeen) sebahagian  daripada qias awla. (Feqh al-Zakah, jil.2, ms.634)

Sependapat dengan para ulama ini ialah Syaikh Muhammad Hamidullah ('A'mal Wa Abhath an-Nadwah al-Khamisah, ms.181 dan 187)

Khilafiyyah

Sudah tentu tidak semua ulama bersepakat dengan pandangan Qaradhawi dan beberapa tokoh ulama yang dinyatakan berhubung soal ini.

Antara yang membantah pandangan Qaradhawi ialah pengarang kitab Yas'alunaka (Jld.7, ms.86).

Kesimpulannya, soal keharusan meminjam wang zakat bagi al-Muhtajeen, adalah masalah khilafiyyah  di kalangan para ulama semasa.

Oleh itu, setiap orang Islam boleh berpegang dengan pandangan Qaradhawi ini terutamanya jika melihat adanya maslahah dan keperluan. Mana-mana pihak tidak boleh membantah atau menidakkan tindakan pihak yang berpegang dengan pandangan Qaradhawi berhubung perkara ini.

Ini kerana, sebagaimana yang telah ditetapkan oleh para ulama, tiada bantahan atau penidakkan dalam masalah khilafiyyah (La Inkar Fi Mas'alah Khilafiyyah).

Oleh itu, jelaslah persoalan sebenar dalam isu dakwaan penyalahgunaan wang zakat ini. Tindakan pihak terbabit menggunakan wang zakat di atas nama pinjaman (yang kemudiannya telah dibayar balik), bukanlah satu masalah dan tidak menjadi isu.

Yang menjadi persoalan ialah tujuan pihak terbabit meminjam wang zakat tersebut. Jika ia dipinjam bagi membiayai urusan yang tidak bertentangan dengan syarak, maka menurut pandangan Qaradhawi dan ulama-ulama yang seangkatan, ia harus jika mereka benar-benar memerlukan.

Namun, jika ia dipinjam bagi membiayai urusan yang bercanggah dengan syarak, maka ini merupakan kerja dosa.

Dengan ini, setiap pihak yang terbabit dalam isu ini tahu apa yang perlu mereka lakukan.

Satu lagi yang perlu diperhatikan, wang zakat yang dipinjam itu, adakah diambil daripada sahm al-Gharimeen atau bahagian asnaf-asnaf lain.

Pandangan Qaradhawi jelas menunjukkan bahawa wang zakat yang boleh dipinjam oleh al-Muhtajeen, ialah wang zakat dari bahagian asnaf al-Gharimeen.

Wallahu a'lam.

Tuesday 17 January 2012

Pilihan raya Mesir : Ikhwan Yang Dipertua Parlimen kali pertama dalam sejarah!


Sa'ad al-Kattatani

Ikhwan Muslimin (IM) dilihat melakar sejarah baru apabila persetujuan dicapai bagi melantik salah seorang pemimpin parti kelolaannya, Hizb al-Hurriyyah Wa al-'Adalah (FJP), bagi menjawat jawatan Yang Dipertua Parlimen Mesir yang bakal dibentuk.

Dalam perkembangan terbaru, Pakatan Demokrasi Demi Mesir yang diketui parti FJP, dan menggabungkan 11 parti politik Mesir, bersepakat mencalonkan Setia Usaha Agong FJP, Muhammad Sa'ad al-Kattatani sebagai Yang Dipertua Parlimen Mesir yang baru.

Persetujuan juga dicapai bagi melantik seorang calon daripada Hizb An-Nur dan al-Wafd bagi memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Parlimen. 

Persetujuan ini mengambil kira kedudukan kedua-dua parti ini selaku pemenang tempat kedua dan ketiga dalam pilihan raya Mesir yang baru saja berakhir.

Selepas pilihan raya peringkat ketiga dan terakhir selesai semalam (17 Jan 2012), FJP mengumumkan kejayaannya meraih sebanyak 46% undi (232 kerusi), manakala Hizb An-Nur sebanyak 23% (113 kerusi), diikuti parti al-Wafd yang memperolehi 9% undi (40 kerusi).

Jumlah keseluruhan kerusi Dewan Rakyat (مجلس الشعب) yang dipertandingkan ialah sebanyak 498 kerusi.
(Sumber : aljazeera.)

Antara semalam & hari ini

Persetujuan yang dicapai ini, tentunya sesuatu yang sangat manis dan penuh makna bagi IM, yang telah ditekan secara melampau dan diharamkan selama 80 tahun oleh regim-regim di Mesir. 

Bukan sekadar itu sahaja, bahkan lebih daripada itu, pencapaian ini dilakar setelah begitu ramai pemimpin dan penyokong IM diseksa dan menemui ajal di tangan regim-regim tersebut.

Sejarah masa lalu IM ini menambahkan lagi erti dan makna pencapaian IM dalam arena politik Mesir masa kini.

Sesungguhnya, ia sebahagian daripada detik yang penuh emosi bagi IM. Tentunya ia disambut dengan linangan air mata kesyukuran, beserta lantunan ucapan-ucapan syukur ke hadrat Yang Maha Berkuasa.

Rasa syukur dan kesedaran akan kekuasaan Allah, kian memuncak bila diimbau kembali sejarah penderitaan yang getir yang dihadapi oleh IM. 

Membaca kisah-kisah penyeksaan yang terpaksa diteguk oleh anggota-anggota IM, secara tanpa sedar, telah melantunkan doa agar Allah menjauhkan diri daripada ujian yang serupa. Bukan apa, cuma bimbang hati yang kerdil dan iman yang nipis ini, tidak mampu berdiri teguh dan bertahan mendepani ujian yang begitu berat itu.

Hati bergetar membaca kisah Mursyidul Am IM yang kedua, Syaikh al-Mujahid Hasan al-Hudhaibi. Seksaan yang beliau terima menyebabkan beliau pengsan. Ini sudah cukup bagi menggambarkan kedahsyatan seksaan yang diterima. 

Begitu juga dengan Syaikh Mustafa Masyhur, juga salah seorang Mursyidul Am IM. Ketika dalam penjara, setiap hari, tapak kaki beliau akan dipukul berkali sehingga tulang-tulang kakinya hancur.

Akibat terlalu kerap disebat, mujahid-mujahid IM ini merasa kebas, sehingga sebatan ke tubuh mereka tidak menyebabkan rasa sakit. 

Bagi memperdayakan penyebat-penyebat penjara, mereka akan berpura-pura sakit, dengan bertempik dan meraung bila disebat. Namun, akhirnya penyebat-penyebat itu mengetahui keadaan sebenar mereka. Lantas mereka beralih kepada sepakan dan terajangan bagi menyeksa mujahid-mujahid itu.

Diantara mereka, ada yang diikat kaki ke bumbung. Lantas, para penyeksa bersilih ganti menendang dan menyepak, sehingga mangsa bertukar menjadi bagai timbunan darah.

Kaedah mencabut kuku-kuku kaki dan tangan menggunakan sejenis alat khusus, adalah perkara biasa yang dihadapi pejuang-pejuang IM. Antara kaedah seksaan yang sangat menyakitkan, ialah kaedah menyalurkan angin menggunakan pam ke bahagian gusi.

Sebahagian kisah menarik para mujahid IM ketika dalam penjara, adalah kisah seorang anak muda yang dipaksa membuat pengakuan seperti yang dikehendaki pemerintah. Namun, anak muda ini tetap berkeras menolak dengan mengacipkan giginya. 

Beliau akhirnya diselam  ke dalam air berkali-kali sehingga menemui syahid. Sebaik sahaja ruhnya melayang ke hadrat Ilahi, mulutnya yang tadinya terkancing kemas, tiba-tiba terbuka dengan mengukirkan senyuman indah.

Subhanallah...

Benarlah apa yang dikatakan oleh al-Imam al-Allamah al-Mujahid Syaikh Yusuf al=Qaradhawi, apa yang dihadapi oleh mujahid-mujahid IM dalam penjara Mesir, lemah untuk qalam menulisnya, dan kelu lidah untuk menggambarkannya.

Kini, IM yang ditekan dan diseksa sebegitu rupa, sekarang berada diambang kekuasaan dan bakal menerajui Mesir.

Benarlah janji-janji Allah kepada para pejuang agamaNya.

Semoga Allah meletakkan para syuhada' IM di syurga Fidaus yang tinggi bersama para syuhada', anbiya' dan rasul.

Thursday 12 January 2012

Bila Ikhwan ucap Selamat Hari Krismas di gereja...

Presiden FJP dalam gereja ketika sambutan Hari Krismas
Sesetengah gerakan Islam, gemar menampilkan imejnya sebagai sebuah pertubuhan, atau parti yang 'kuat Islam' mengatasi parti-parti lain.

Ia memang mahu masyarakat mengenalinya sedemikian.

Justeru, ketika di medan, gerakan-gerakan Islam ini gigih membina, dan seterusnya memperkukuhkan imej tersebut pada dirinya di mata khalayak.

Dalam usaha membina imej ini, ia juga melancarkan 'serangan' bertali arus ke atas pihak lawan. Ia bertujuan-antara lain-'melondeh' pihak lawan, agar dilihat sebagai tidak kuat berpegang pada tali Islam.

Bila usaha ini berjaya, imej 'kuat Islam' itu akan semakin kukuh melekat pada gerakan-gerakan Islam tadi.

Imej Ikhwan

Tapi, Ikhwanul Muslimin (IM) di Mesir, terutamanya selepas kejatuhan regim Husni Mubarak, tidak begitu.

Ia dilihat tidak gemar membina imejnya sebagai organisasi yang 'kuat Islam' melebihi orang lain. Tidak juga 'berselera' untuk menafikan keseriusan pegangan pihak lawan terhadap Islam.

Inilah perwatakan dominan IM, khususnya selepas kejatuhan regim Husni Mubarak.

Bentuk imej yang mahu dibina oleh IM bagi pertubuhannya itu, terpapar dengan jelas dalam tindak tanduk kepimpinannya.

Selepas kejatuhan Husni Mubarak, IM dilihat menjuruskan tindak tanduknya ke arah mengangkat pergerakan itu sebagai sebuah pergerakan yang sederhana.

Inilah imej yang mahu dibina oleh IM. Inilah perwatakan yang mahu ditampilkan kepada masyarakat. Iaitu pertubuhan yang sederhana dan toleransi. Bukannya organisasi yang 'kuat Islam' mengatasi organisasi atau parti-parti lain. Bukan juga pertubuhan yang akan melaksanakan Islam, sebaik sahaja ayam berkokok pada subuh hari pertama memegang kuasa!

Sikap IM ini sungguh menarik.

Apa tidaknya, di saat sesetengah gerakan Islam lain mengambil masa selama puluhan tahun, untuk tampil dengan watak dan imej sederhana, IM-dalam konteks negara Mesir yang demokratik-boleh dikatakan langsung tidak mengambil masa bagi tujuan sama.

Ia tampil dengan perwatakan dan imej sederhana, sejak hari pertama mereka dibenarkan beraksi di pentas politik Mesir yang demokratik, setelah 80 tahun diharamkan oleh regim Husni Mubarak dan regim-regim sebelumnya. 


Barangkali, yang menyelamatkan IM daripada terjebak dalam 'kegemaran' kepada imej 'kuat Islam' ini, ialah ketangkasan kepimpinannya membaca suasana.

Suasana Mesir selepas kejatuhan Mubarak pada Februari 2011, dilihat sangat tidak kondusif bagi sebuah gerakan Islam yang berimej 'kuat Islam'.

Dalam suasana Islam dimomokkan sebagai agama keganasan sejak sekian lama, disamping kebanyakan umat Islam sedang 'mabuk' akibat disuntik racun-racun sekularisme, IM melihat imej sederhana sesuai diangkat sebagai perwatakan dan imej sesebuah gerakan Islam.

Dalam situasi begini, imej 'kuat Islam' mudah saja ditanggapi sebagai simbol ekstrem atau sifat melampau.

Ertinya, IM tidak menunggu sehingga keadaan memaksa mereka untuk tampil dengan imej sederhana.

Tidak seperti sesetengah gerakan Islam yang gemarkan imej 'kuat Islam' tadi. Setelah melihat imej 'kuat Islam' yang membayanginya menjadi penghalang untuk ia terus mara dalam arena politik, barulah berfikir untuk tampil dengan imej sederhana.

Ikhwan & sambutan Krismas

Dalam rangka mengukuh imej dan perwatakan sederhana, IM membuka tirai tahun baru 2012 dengan pengutusan dua delegasi ke dua buah gereja di Mesir. Iaitu gereja Ortodoks dan Injiliyyah.

Delegasi terdiri daripada pemimpin-pemimpin Ikhwan dan Dr. Abdul Rahman al-Bar, Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar cawangan Mansurah.

Pengutusan delegasi ini adalah bagi memenuhi jemputan pihak gereja.
(Sumber : ikhwanonline)

Berdasarkan gambar-gambar dalam ikhwanonline , delegasi diutus ke 2 gereja tersebut pada hari Krismas, dan ketika upacara sambutan Krismas sedang berlangsung. Tujuannya, menyampaikan ucapan 'Selamat Hari Krismas' kepada penganut-penganut Kristian!

Mengejutkan! Bahkan menggemparkan!

Itulah perasaan yang menerpa emosi orang yang berada dalam persekitaran pemikiran agama versi Malaysia, dan melihat tindakan IM ini melalui jendela pemikiran itu.

Ucapan 'Selamat Hari Krismas' dari orang Islam kepada penganut Kristian, tidak menjadi masalah bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia.

Tapi, orang Islam pergi ke gereja pada Hari Krismas, ketika upacara sambutannya sedang berlangsung, untuk menyampaikan ucapan 'Selamat Hari Krismas' kepada penganut-penganut Kristian, memang satu masalah besar.


Itu realiti di Malaysia.

Tulisan ini tidak bermaksud menyokong tindakan IM itu. Tidak juga mahu mencadangkan mana-mana pihak di Malaysia, melakukan tindakan serupa lantaran suasana dan realiti yang mungkin berbeza.

Apa yang mahu diangkat dalam tulisan ini ialah manhaj IM. Iaitu kesederhanaan dalam pemikiran, tindakan dan imej yang ditampilkan. Serta ketangkasan mereka membaca suasana, yang membolehkan mereka mengenal pasti pendekatan dan imej gerakan Islam yang secocok dengan realiti semasa.


Juga mahu memberi mesej tentang keluasan Feqh Islami terutamanya berhubung soal-soal semasa.

Dalil

Walau bagaimana pun, bagi tujuan ilmiah dan perbincangan, elok disebut asas tindakan IM itu secara ringkas.

Menurut Jumhur ulama semasa, tindakan orang Islam mengucapkan 'Selamat Hari Krismas' kepada penganut Kristian, adalah harus. Ucapan itu juga tidak bermakna umat Islam yang menuturkannya, redha dengan kekufuran mereka.

Ucapan sedemikian harus kerana ia sebahagian daripada perbuatan baik yang diperintahkan Allah dalam firmanNya yang bermaksud (Al-Mumtahanah : 8) :

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil".

Ucapan sedemikian juga tidak bermakna penuturnya redha dengan kekufuran penganut Kristian.

Dalilnya ialah qias.

Dalam ayat 5 surah al-Maidah, Allah mengharuskan lelaki Islam mengahwini wanita-wanita Ahli Kitab, iaitu wanita Yahudi atau Kristian.

Oleh kerana ia harus, maka lelaki muslim yang mengahwini wanita Ahli Kitab, tidak boleh disifatkan sebagai redha dengan kekufuran wanita yang dikahwininya itu.

Demikian juga tindakannya membiarkan isterinya yang beragama Kristian atau Yahudi itu mengamalkan ibadat dan akidah kufur mereka. Juga tidak boleh disifatkan sebagai redha dengan kekufuran isterinya itu.

Penyifatan sedemikian bertentangan dengan sifat harus yang diberikan syarak kepada perkahwinan antara lelaki Islam dan wanita Ahli Kitab.

Jika demikian halnya, maka terlebih utama ucapan 'Selamat Hari Krismas' yang dilafazkan oleh orang Islam kepada penganut Kristian, tidak dianggap sebagai tanda ia redha dengan kekufuran penganut Kristian itu.

Dalam negara Islam, umat Islam juga mengizinkan penganut-penganut agama lain membina rumah-rumah ibadat mereka. Tindakan ini sama sekali tidak bermakna umat Islam redha dengan kekufuran mereka.

Begitulah juga halnya dengan ucapan 'Selamat Hari Krismas' seorang Islam kepada penganut Kristian.
(Rujuk : ikhwanonline)

Mutlak atau terikat

Persoalannya, apakah ucapan 'Selamat Hari Krismas' ini hanya boleh diucapkan di luar gereja sahaja? Atau ia harus secara mutlak, tanpa mengira samada di dalam atau di luar gereja?

Dari tindakan pemimpin-pemimpin IM ini, jelas menunjukkan bahawa pada pandangan mereka, tiada dalil yang membataskan keharusan ini hanya kepada ucapan di luar gereja sahaja.

Sudah tentu tindakan 'mengejutkan' IM ini ada pro dan kontranya.

Apa yang pasti, tindakan IM ini memberi impak positif dari segi penyerlahan imej sederhana pertubuhan itu pada kaca mata masyarakat Mesir dan antarabangsa.

Apa pun sikap kita terhadap tindakan IM itu, selama mana ia berlegar dalam ruang lingkup persoalan khilafiyyah, dan tiada nas yang qat'ie dari segi thubut dan dalalahnya, setiap pihak wajar menghormati pandangan IM itu, dan memelihara adab-adab khilaf dalam mendiskusikan persoalan ini.

Lidah perlu dipelihara daripada tuduhan tergesa-gesa.

Tuesday 10 January 2012

Keruntuhan Negara pada ketidakpedulian


Zaman Sultan Sulaiman al-Qanuniy (1495-1566M)-menurut kebanyakan ahli sejarah-merupakan zaman keemasan Empayar Othmaniyyah.

Pada zaman Baginda, jajahan takluk empayar itu semakin meluas. Banyak negeri dan bandar dibuka. Kemakmuran dan kemewahan merata ke segenap penjuru empayar.

Namun, Sultan Sulaiman-melalui sorotan Baginda ke atas sejarah peradaban manusia-mengetahui bahawa setiap negara yang kuat, tidak dapat tidak, pasti akan menjadi lemah.

Akan menular ke dalam strukturnya faktor-faktor kelemahan dan keruntuhan. Ini kerana, setiap peradaban mempunyai ajal masing-masing.

Apakah perkara sama akan menimpa Empayar Othmaniyyah?

Apakah di sana ada cara untuk lari daripada keruntuhan?

Persoalan ini menghantui fikiran Sultan Sulaiman selama beberapa hari.

Setelah lama berfikir dan bingung dengan persoalan ini, Baginda memutuskan untuk mengajukan persoalan ini kepada seorang ulama yang masyhur ketika itu, iaitu Yahya Afandi.

Yahya Afandi juga merupakan saudara susuan Baginda.

Tuan adalah seorang yang mengetahui banyak rahsia. Justeru, kami berharap dari tuan, agar sudi memberitahu kepada kami, bilakah sesebuah negara itu akan runtuh. Dan apakah kesudahan Empayar Othmaniyyah ini?”.

Demikian isi surat yang dihantar Sultan Sulaiman kepada Yahya Afandi.

‘Peka’ tugas rakyat jelata

Yahya Afandi segera menjawab soalan Sultan Sulaiman itu. Namun, jawapannya sangat ringkas dan memeningkan Baginda Sultan.

Apa kaitan perkara ini denganku, wahai Tuanku al-Sultan? Apa kaitannya denganku?”.

Demikian jawapan Yahya Afandi.

Sultan Sulaiman sangat hairan dan pening dengan jawapan Yahya Afandi. Apakah dalam jawapan ini mengandungi makna tersirat yang Baginda tidak fahami?

Baginda tiada jalan lain melainkan pergi menemui sendiri Yahya Afandi di tempat tinggalnya.
Setibanya di sana, Baginda mengajukan soalan yang sama seperti dalam surat yang dikirimkan, sambil menegur Yahya Afandi yang dilihatnya tidak serius menjawab soalan Baginda.

Beta berharap dari Tuan, wahai saudaraku, supaya menjawab soalan Beta dan menganggap persoalan ini serius. Beta juga berharap agar Tuan memberitahu apakah maksud Tuan dengan jawapan yang Tuan berikan itu”, titah Sultan Sulaiman kepada Yahya Afandi.

Wahai Tuanku, tatkala kezaliman dan kerosakan berleluasa dalam sesebuah negara, dan setiap orang yang melihat kezaliman dan kerosakan ini berkata, “apa kaitannya perkara ini denganku” kerana sibuk dengan hal diri masing-masing sahaja...

Apabila ‘pengembala’ membaham ‘kambing’ yang dijaganya, sedang orang yang mengetahui dan mendengar hal ini mendiamkan diri...

Apabila teriakan fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan, mula meninggi ke langit dan tiada siapa yang mendengarnya selain pokok-pokok dan tanah...

Ketika itu, terserlahlah tanda-tanda kejatuhan sesebuah negara, terhakislah rasa kesetiaan rakyat terhadapnya…

Demikianlah kemalapan menjadi ketentuan yang tertulis ke atas sesebuah negara yang tiada jalan melarikan diri daripadanya”.

Penyakit & penawar

Begitulah jawapan Yahya Afandi kepada persoalan Sultan Sulaiman.

Kezaliman pemerintah dan ketidakpedulian rakyat terhadap ketidakadilan!

Itulah ‘barah’ dua serangkai yang menjadi penyebab keruntuhan sesebuah negara.

Sesebuah negara boleh terus bertahan jika pemimpinnya zalim, tetapi rakyatnya peka dan sentiasa jaga. Atau rakyatnya lena, tetapi penguasanya adil dan prihatin.

Tetapi, sesebuah negara akan tumbang tatkala kezaliman pemerintah digandingi dengan ketidakpedulian rakyat!

Tanggungjawab pemerintah dalam memelihara keutuhan sesebuah negara ialah membela rakyat, bersikap adil dan saksama.

Manakala tanggungjawab rakyat ialah peka terhadap sebarang ketidakadilan dan sensitif terhadap apa jua kepincangan! 

Untuk terus gah dan utuh, negara memerlukan pemerintah yang adil.

Yang penyayang.

Yang amanah.

Yang sedar bahawa dirinya adalah ‘pekerja’ kepada rakyat dan pemegang amanah mereka.

Untuk terus gah dan utuh, negara juga perlukan rakyat yang sensitif, peka dan sentiasa jaga terhadap apa jua perkembangan dalam negara.

Ya, pemerintah yang adil dan rakyat yang peka!

Itulah talian hayat sesebuah negara!

Justeru, disamping berusaha menjadi atau melahirkan pemimpin yang adil, jangan dilupa, usahakan juga agenda membentuk rakyat yang peka!

Sunday 8 January 2012

Talian Hayat Organisasi


Sesebuah tamadun itu, boleh terus hidup, jika ia memiliki simpanan ‘modal’ yang mencukupi.

Namun, yang dimaksudkan dengan ‘modal’, bukanlah kebendaan, atau tenaga manusia secara asas.

‘Modal’ yang menjadi ‘talian hayat’ sesuatu tamadun, ialah idea-idea baru yang boleh dipersembahkan kepada manusia sejagat.

Idea yang ditawarkan itu pula, mestilah berupaya mencetuskan anjakan, dan perubahan dalam kehidupan manusia. 

Jika ini mampu dilakukan, sesebuah tamadun itu akan terus berkesinambungan dan terus gah.

Kemuflisan tamadun Barat

Justeru, ramai pemikir menjangka, hayat tamadun Barat hari ini, sudah sampai ke penghujungnya. Ini kerana, tamadun tersebut sudah kekeringan 'modal'. Sudah kehabisan idea-idea berkesan untuk dikemukakan kepada manusia dan dunia.

Idea terakhir, yang ditawarkan tamadun Barat kepada dunia sejagat, ialah persaudaraan dan persamaan, yang dicetuskan oleh Revolusi Perancis.

Idea yang diketengahkan itu, telah berjaya mencipta anjakan besar ke atas dunia Barat dan seluruh dunia amnya.

Namun, setelah idea tersebut selesai ‘menjalankan tugas’, kini tamadun Barat dalam keadaan muflis idea!

Pendokong-pendokongnya sudah kehabisan idea baru untuk dihadiahkan kepada manusia sejagat.

Kemuflisan di alam idea dan nilai ini, menyebabkan tamadun Barat kini hanya mampu memberikan ciptaan demi ciptaan baru, yang berbentuk kebendaan kepada manusia zaman kini.

Sesuatu tamadun itu, tidak boleh kekal dengan hanya mampu melakukan cetusan baru di alam kebendaan.

‘Nyawa’ sesebuah tamadun ialah idea dan nilai, yang berupaya mencetuskan perubahan dan anjakan.

Keruntuhan organisasi

‘Hukum’ ini juga terpakai ke atas sesebuah organisasi atau pergerakan. 

Ia akan malap atau berkubur, bila ‘simpanan’ idea dan nilai, susut dan kering.

Justeru, mana-mana organisasi, sangat perlu menggali khazanah ilmu dan memerah otak, demi mencetuskan idea-idea berkualiti. Iaitu idea-idea yang mampu mencetuskan anjakan dalam masyarakat.

Idea-idea bermutu inilah yang akan melanjutkan usia sesebuah organisasi.

Keasyikan melondeh pihak lawan...

Tenggelam dalam aktiviti pembongkaran kelemahan musuh, sepatutnya sudah berakhir...